Followers

Thursday, October 8, 2009

KESAN NEGATIF PENGAJIAN ISLAM SECARA MAYA

Dewasa ini, Pengajian Ialam secara maya merupakan satu metod dakwah yang sesuai dan relevan digunakan. Bersesuaian dengan era globalisasi ini juga yang tidak lari dari konsep kesyumulan Islam itu sendiri. Dapat didefinisikan di sini, Islam bergerak di mana jua tidak kira masa. Bagi mencapai kepada hasrat ini, umat Islam perlu kepada ilmu teknologi yang tinggi. Bersumberkan ilmu yang dimiliki ini, kita bukan sahaja dapat mempelbagaikan gaya penyebaran dan pemahaman Islam, malah kita juga dapat membanteras anasir-anasir yang dapat menggugat kesucian Islam juga yang paling penting akidah umat Islam itu sendiri. Pengajian secara maya sedikit sebanyak memudahkan proses rujukan Islam umpama slogan “maklumat di hujung jari”. Kita dapat menjimatkan masa, kos, dan tenaga untuk mencari sesuatu maklumat. Namun persoalan yang ingin ditimbulkan di sini, sejauh manakah kesahihan maklumat itu sendiri dan bagaimana ingin membezakan pandangan atau fakta hukum. Selain itu terdapat persoalan juga bagaimana seseorang individu menggunakan alat teknologi itu sendiri. Adakah pengajian secara maya ini lebih mendatangkan kebaikan ataupun keburukan? Inilah yang perlu dikaji dengan lebih mendalam dari segi perlaksanaannya.
Pengajian Islam secara maya memberikan kesan positif dan negatif kepada manusia. Selepas kajian dilakukan pengajian secara maya ini memang banyak kelebihannya sehingga tidak dapat dikira secara keseluruhannya. Namun, tidak semua perkara itu jika kita lihat jelas menunjukkan kepada kebaikan sahaja kerana di mana ada tercatatnya kebaikan pasti keburukan juga menyusuri secara kita sedar mahupun tidak. Dunia sebenar ( real world ) pada hari ini, kita dapat melihat pelbagai kemudahan-kemudahan yang canggih telah disediakan oleh pihak tertentu. Dengan segala kemudahan yang ada dapat menggambarkan bahawa negara kita pada hari ini tidak berada dalam kemunduran. Sudah menjadi lumrah dunia, manusia sejagat ke tempat yang menawarkan kepuasan yang lebih ibarat “ di mana ada gula di situ ada semut ’’.
Pengajian secara maya ini dapat disimpulkan mempunyai kesan yang negatif kepada masyarakat kita pada hari ini. Contoh yang saya ingin ketengahkan di sini adalah penggunaan internet dikalangan remaja dan mahasiswa kita pada hari ini. Pelbagai maklumat tersaji di internet, masyarakat merasakan lebih mudah mendapatkan ilmu agama di sana kerana maklumat berada di hujung jari, tidak perlu bersusah payah merujuk buku-buku, hanya dengan mengakses internet sahaja mereka mudah untuk mendapatkan maklumat. Tetapi bagaimanakah masyarakat kita menggunakan medium komunikasi baru ini? Adakah ia memberikan kesan positif? .
Pengajian secara maya ini telah menyerapkan sifat malas di kalangan manusia, ini kerana pada zaman dahulu sahabat-sahabat bersungguh-sungguh pergi berjumpa dengan guru mereka untuk mendalami ilmu, tetapi pada hari ini kita boleh kira berapa bilangan pelajar atau mahasiswa yang bersungguh-sungguh dan rajin berjumpa guru untuk mendapatkan ilmu, hal sebegini terjadi disebabkan mereka terlalu taksub dengan kemodenan yang ada pada hari ini, yang mana kemodenan ini bagi mereka lebih mudah, walhalnya mereka tidak sedar sekiranya maklumat yang mereka perolehi itu tidaklah seratus peratus benar.
Kita lihat contohnya blogger, pada hari ini kita boleh mendapatkan maklumat melalui blogger tetapi sejauh mana kesahihan isi kandungan blogger tersebut? Di negara kita, kebanyakan agensi yang sedia diketahui tentang aktiviti Islam menyediakan banyak ruang untuk menambah maklumat. Tidak ketinggalan individu perseorangan yang mahir membuat website juga mengambil peluang untuk membangunkannya dengan tujuan tertentu. Ada yang jujur, tetapi ada juga yang mempunyai motif tertentu. Perlu kita sedari bahawa ia bukan sahaja diakses di negara kita tetapi serata dunia. Contohnya antara yang terawal aktif membina homepage bagi sesiapa yang melayarinya tujuh lapan tahun lalu, ialah golongan Qadiani. Kepada individu yang tiada asas agama mereka mungkin tidak melihat apa-apa kekurangan dalam website yang dipelopori oleh Qadiani. Mengikut pengalaman Dr. Zulkiple Abd Ghani, beliau pernah melihat pada peringkat awalnya perbincangan mengenai Islam itu betul, tetapi di hujung-hujungnya terdapat kekurangan seperti pendapat yang mendakwa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Rasul.
Selain itu website yang berpusat di India, yang terhasil daripada orang Islam dan Hindu, sentiasa menonjolkan kesalahan orang Islam. Ia sengaja diwujudkan oleh musuh Islam. Kita dapat lihat walaupun pada awalnya maklumat ajaran Islam adalah betul tetapi akhir-akhirnya ketara menyeleweng. Bagi sesiapa yang kuat latarbelakang Islam, mungkin mereka boleh menyaring di sini, tetapi bagaimana bagi mereka yang ingin belajar Islam, tidakkah mereka akan menerima sahaja maklumat yang mereka perolehi itu, ini jelas akan merosakkan akidah mereka. Setakat ini kita masih ditegaskan bahawa ilmu agama tidak boleh dipelajari hanya dengan melayari internet, ia mesti dipelajari dalam bentuk berguru yang tradisi. ( AL ISLAM Januari 2001, halaman 51 ) .
Rata-rata mahasiswa kita pada hari ini lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat dengan mengakses internet. Sewajarnya mereka memikirkan bahawa kemudahan internet ini adalah bersifat hanya menambah kepada pendidikan asas Islam, sejauh mana individu Islam mengakses kemudahan teknologi maklumat ia hanya menambah kepada ilmu yang sedia ada. Ini dapat dibuktikan apabila kita pergi ke mana-mana IPTA/IPTS, kolej, sekolah-sekolah, kita dapat melihat majoriti mereka ini mempunyai alat teknologi yang telah banyak diperkenalkan di pasaran dewasa ini seperti komputer, komputer riba, telefon bimbit, alat permainan video dan sebagainya.
Selain itu dengan kemudahan yang ada, mereka juga mudah untuk mendapatkan di mana-mana agensi atau tempat yang menyediakan kemudahan internet seperti di kafe siber yang telah dijadikan sebagai rumah kedua oleh remaja kita pada hari ini. Sebagai contoh mahasiswa kita hari ini akan melayari internet untuk mencari maklumat dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, kerana dengan slogan maklumat di hujung jari kita boleh mendapatkan pelbagai maklumat dengan mudah akan tetapi sejauh mana mereka melayari internet itu dengan betul?
Setelah menemu ramah beberapa orang mahasiswa secara tidak langsung, saya dapat menyimpulkan memang mahasiswa kita mencari maklumat untuk menambah pengetahuan dan menyelesaikan tugasan yang diberikan melalui internet, akan tetapi seperti peribahasa yang selalu dicanang “ sambil menyelam minum air” mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan melihat perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan motif utama mereka iaitu untuk mencari maklumat. Ini kerana jelas menunjukkan sekiranya tiga jam masa diperuntukkan untuk mencari maklumat, hanya satu jam atau kurang dari satu jam mereka melayari internet untuk mencari maklumat, selebihnya mereka bazirkan masa mereka secara sedar mahupun tidak dengan membuka laman web yang boleh melekakan dan menghabiskan masa mereka seperti youtube, friendster,yahoo messenger,face book,mentor,akademi fantasia dan pelbagai lagi.
Naluri ingin tahu yang sudah sebati dengan jiwa mereka menyebabkan mereka mudah mengikut telunjuk nafsu. Apalagi ketiadaan ibu bapa memerhatikan atau memantau anak-anak muda ini semestinya mengeruhkan lagi keadaan. Bagaimanakah remaja yang berusia setahun jagung dapat mentamyizkan antara kaca dan berlian, hitam dan putih, dan betul atau salah. Keadaan ini membolehkan budaya kuning menular masuk ke tanah air. Hakikatnya, remaja yang dikatakan sebagai pewaris tonggak kepimpinan negara sebelum ini hanya tinggal ilusi sahaja. Kewujudan kafe siber yang menyediakan perkhidmatan pengajian secara maya hanya dapat dilihat sebagai perosak minda pelajar sekolah daripada menyumbang kepada perkara positif apabila ia banyak mencetuskan pelbagai aktiviti tidak sihat di kalangan generasi muda pada masa kini. Bak kata pujangga “ ada udang disebalik batu”. Kafe siber seolah-olah telah menjadi tempat ataupun “ sarang ’’ pelajar yang ponteng sekolah untuk melepak ataupun berfoya-foya. Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia ( Tamrin ), Dr Tengku Ismadi Tengku Muhammad berkata, tindakan pelajar yang gemar menghabiskan masa bermain permainan komputer di kafe siber adalah trend membimbangkan apabila ia mampu mencetus pelbagai masalah sosial lain. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak terjebak dengan kegiatan itu kerana ia menyebabkan ketagihan seterusnya merosakkan diri pelajar sendiri. ( myMetro, Rabu 6 ogos 2008 )
Ketagihan terhadap permainan komputer disebabkan mereka bermain secara berterusan dengan mengabaikan perkara lain. Ketagihan terhadap permainan komputer juga berlaku ekoran pertambahan jenis permainan komputer. Remaja ketagih akan permainan komputer sehingga tidak balik ke rumah. Penghabisan masa yang terlalu lama di komputer menyebabkan pelbagai implikasi negatif. Para pelajar akan kehilangan fokus dan minat belajar dan akhirnya ponteng sekolah. Bagi mereka kafe siberlah segala-galanya dan telah sebati dengan jiwa mereka. Tambahan pula mereka lebih cenderung berada di kafe siber daripada duduk di rumah dan nasihat-nasihat ibu bapa ibarat “ mencurah air ke daun keladi ”.
Pada masa kini permainan komputer merupakan salah satu aktiviti yang digemari oleh golongan pelajar tidak kira di bandar mahupun desa. Berlandaskan kemajuan dalam sains dan teknologi, ia menggalakkan para pengusaha menyediakan pelbagai program yang menarik serta mencabar. Tidak hairanlah golongan pelajar yang terlibat dengan permainan ini akan menghabiskan masa berjam-jam di pusat-pusat permainan komputer tersebut. Keasyikan dan keseronokan ketika berada di pusat itu menyebabkan mereka lalai dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Selain itu pelajar yang terlibat dalam permainan ini perlu menyediakan wang secukupnya bagi setiap jam permainan. Jika beberapa jam diperuntukkan untuk bermain, sudah pasti wang yang diperlukan juga bertambah. Mereka akan menggunakan wang saku yang telah diberi oleh ibu bapa untuk tujuan yang tidak berfaedah ini. Justeru permainan ini merugikan wang mereka. Sepatutnya pelajar menggunakan wang tersebut untuk tujuan yang lebih berfaedah seperti membeli buku rujukan dan sebagainya. Pengarah Perancangan dan Strategi, Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam ( pisang ) Hanafi Abdul Malek berkata “ masalah kafe siber hari ini sangat kronik,daripada yang tidak tahu seks jadi tahu, selain gejala ponteng sekolah, bersikap ganas, mencuri serta ada yang mendapat penyakit sawan akibat terlalu taksub dengan permainan komputer ”.
Pelajar yang ketagih dengan permainan ini sanggup ponteng sekolah atau melepak di kafe siber. Ada pelajar yang sanggup membawa pakaian persalinan untuk memudahkan mereka masuk ke kafe siber. Justeru, pengusaha tidak dapat mengenal pasti sama ada mereka merupakan pelajar sekolah atau sebaliknya. Permainan komputer juga boleh mempengaruhi minda pelajar kearah unsur-unsur negatif seperti peperangan dan keganasan. Aksi-aksi ini juga akan merosakkan pemikiran serta meracuni fikiran para pelajar. Gejala ini dikhuatiri meninggalkan kesan dalam pemikiran mereka serta meracuni pemikiran para pelajar untuk melakukan aktiviti tersebut di luar bilik darjah. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar sedang belajar di biliknya. Semasa membuat kerja sekolah remaja itu boleh terganggu dengan komputer yang berada di depan matanya. Fikiran mereka akan sering memikirkan benda-benda yang lebih menyeronokkan daripada kerja sekolahnya seperti permainan komputer. Disebabkan itu, jika iman remaja tidak kuat dia akan berhenti membuat kerja sekolah dan bermain komputernya. Apabila seorang pelajar terlampau asyik bermain permainan komputer, ia akan mendatangkan kemudharatan sehingga meninggalkan solat. Selain itu menurut kajian sains, jika terlalu lama menghadap komputer, ia akan memudharatkan kerana ianya dapat menyebabkan masalah rabun, lumpuh, sakit tulang belakang, dan pelbagai lagi penyakit. Sebagai manusia kita perlulah memikirkan kesan daripada sesuatu perkara yang ingin kita lakukan kerana jika tersalah langkah badan kita binasa.
Ada pendapat yang mengatakan pengajian secara maya ini ialah satu metod yang sesuai digunakan oleh pendakwah pada masa kini dalam menyampaikan dakwah. Akan tetapi kita boleh lihat berapa ramai pendakwah-pendakwah yang berada di luar sana yang menggunakan metod ini, kerana rata-rata mereka masih selesa dengan keadaan mereka yang menyampaikan dakwah secara tradisi. Berdakwah secara tradisi ini ialah cara yang ditunjuk Allah dan sirah. Kita tidak boleh kesampingkan cara tradisional atau konvensional. Khutbah Jumaat, hubungan interpersonal yang berlaku dalam keluarga, kuliah subuh dan ceramah agama ini adalah antara cara tradisi atau konvensional. Setakat hari ini jika dibandingkan medium elektronik yang lain, kita dapati internet dibangunkan agak cepat, cuma keupayaan kita memindahkan maudhuk (kandungan) dalam bentuk kegunaan medium internet agak perlahan. Tidak dinafikan pengajian secara maya satu metod yang sesuai digunakan, tetapi sejauh mana sasaran kita akan terkesan dengan apa yang ingin disampaikan oleh da’ie. Ini kerana sebagai seorang pendakwah kita perlulah memahami latar belakang mad’u kita, kalau kita lihat sebenarnya peluang berdakwah melalui medium internet ini lebih menyukarkan untuk mad’u memahami mesej yang ingin disampaikan dan sukar juga bagi pendakwah untuk menyampaikan dakwah.
Dari segi psikologi, manusia suka perkara baru, tetapi jika website tidak dikemas kini mereka tidak akan melayarinya lagi. Sebagai contoh yang ketara dihadapi www.syukur.com ialah bagaimana mereka harus mengemas kini maklumat secara konsisten. Masalah ini juga dihadapi oleh organisasi kerajaan lain juga. Kebanyakan mereka meletakkan sasaran yang sama, sama ada peringkat muda atau dewasa. Mana-mana website pun menghadapi masalah bagaimana mahu menjadikan mesej mereka menarik. Ini jelas medium internet ini menyukarkan. Untuk kana-kanak misalnya, barangkali tidak sesuai dalam bentuk teks tetapi lebih menarik dalam bentuk animasi. Ia berdaya tarikan tinggi. Bagaimanapun kadar masyarakat Muslim kita masih rendah dalam mengakses internet jika di bandingkan dengan bukan Islam. Jadi bagaimana sasaran akan terkesan dengan apa yang ingin disampaikan. Dengan hanya membaca mereka mungkin faham dengan apa yang ingin disampaikan oleh dai’e, akan tetapi sejauh manakah mereka mendalami dan menghayati apa yang ingin disampaikan kepada mereka. Kerana kalau menggunakan cara tradisi pendakwah dapat memahami apakah yang mad’u perlukan berbanding menggunakan medium internet.
Agak sukar untuk kita mengenalpasti kewibawaan website kerana negara kita masih belum berada di tahap yang mana menyediakan sesuatu untuk kepentingan umat Islam bagi menentukan prioriti, iaitu sumber datangnya maklumat tersebut. Di United Kingdom misalnya, ada perkembangan baru dari segi proses menyaring maklumat. Mereka menyediakan yellow pages untuk kepentingan umat Islam bagi menentukan prioriti. Contohya Islamic Foundation United Kingdom mengeluarkan booklet yang menyenaraikan alamat website yang berguna dan berautoriti dari segi maklumat yang disampaikan. Bagi pengguna yang kuat latar belakang agama mungkin dapat menilai meklumat yang disajikan di internet, tetapi bagaimana pula pengguna yang tidak kuat latar belakang agamanya, mereka pasti akan menerima sahaja apa sahaja maklumat yang mereka dapati. Ini dapat memberi kesan yang negatif dari segi memperoleh maklumat. ( AL ISLAM Januari 2001, halaman 52 ) .
Kebanyakan pengguna kita pada hari ini lebih suka kepada perkara yang mudah, contohnya ingin mendapatkan maklumat mengenai puasa, dengan hanya menaip perkataan puasa kita boleh lihat pelbagai website yang menerangkan mengenai puasa, mereka akan terus menjadikan ianya panduan tanpa melihat kesahihan maklumat tersebut. Ini adalah satu kelemahan pengguna kita pada hari ini. Ingin disarankan kepada pengguna, perlu telus dalam pendidikan Islam, bermakna tidak boleh ada sesuatu yang meragukan. Jika didapati meragukan, maka para pengguna perlulah bijak untuk melihat isu-isu yang dimuatkan. Kita masih perlu berhati-hati mengenai sumber sekalipun diletakkan nama tokoh-tokoh agama sebagai pakar rujuk, kerana sejauh mana dia membuat rujukan sebenar kepada pihak yang berautoriti itu ia masih kabur.
Sewajarnya, apabila sesuatu website dibangunkan, maka sumbernya perlu dikenalpasti. Mereka yang menyediakan website perlu menjelaskan identiti mereka di sana, tetapi dewasa ini kita melihat hanya beberapa peratus sahaja pengendali website yang menjelaskan identiti mereka. Dalam jangka masa yang panjang sewajarnya kita tidak melihat website ini sebagai fasilitator kita. Dalam konteks sekolah bestari, juga dari segi Islam, kita juga tidak melihat ia sebagai fasilitator. Fasilitator adalah pemudah cara. Jika guru di sekolah bestari dianggap sebagai fasilitator dalam pendidikan formal kepada anak-anak, maka ada masalah dalam pendidikan. Yang mana perlu kita ketahui, guru bersifat murabbi, iaitu pendidik yang mendidik, bukan sahaja dari segi member informasi tetapi mendidik untuk membentuk peri laku dengan informasi tadi. Jadi kepada pelajar dan mahasiswa ingin ditekankan internet sebagai alat bukan guru !. ( AL ISLAM Januari 2001, halaman 52 ) .
Contoh lain pengajian maya yang kita dapat lihat kekurangannya pada hari ialah kanak-kanak yang belajar Al-Quran melalui CD, malah selalunya tanpa bimbingan guru di sisi, sekadar mengikut sahaja bacaan CD tersebut. Kita sepatutnya melihat ia sebagai alat tambahan kerana itu perlu duduk secara formal dengan guru. Dari segi teori pendidikan, belajar menggunakan penggunaan multimedia lebih cepat daripada biasa, kerana ia menggunakan banyak pancaindera, mesej lebih cepat diserap. Tetapi pada masa yang sama, pendidikan Islam masih menetapkan bahawa asasnya ialah dengan pendidikan formal, secara berguru dengan manusia bukannya bergurukan komputer. Pendidikan formal masih berjalan seperti biasa, tetapi kita menyokong penggunaan alat moden kerana ia mempercepatkan pendidikan, kecuali sampai kepada suatu tahap apabila mereka merasakan tidak perlu berguru, hanya berdasarkan teknologi maklumat, inilah sikap yang perlu dihakiskan dengan segera. Yang paling penting kesedaran perlu ditekankan kepada yang belajar bahawa dia masih memerlukan guru mursyid yang menunjuk jalan. ( AL ISLAM Januari 2001, halaman 53 ) .
Kita juga boleh melihat rata-rata pada hari ini, wujud suatu kumpulan yang berbincang mengenai sesuatu topik perbincangan di laman - laman web tertentu, yang mana kita bimbangkan mereka berbincang tanpa panduan dari pakar rujuk. Di sini kita dapat lihat terdapat kesan negatif yang sedang berkembang dalam medium baru ini, terutama ruang chit chat yang tidak berautoriti, panduan dan sebagainya, yang kadangkala kita sendiri tidak kenal kerana mereka menggunakan nama samaran.
Bagi remaja yang merupakan golongan yang banyak mengakses kepada internet, mereka perlu diberi pendidikan supaya mempunyai panduan dalam hal berkaitan agama Islam. Autoriti cukup penting terutama yang melibatkan soal yang tidak berubah seperti akidah. Bagaimanapun ada pihak yang nerpendapat jika terdapat di peringkat yang berlaku sintesis dalam ilmu untuk membuat keputusan dalam konteks kehidupan seorang Muslim ia masih memerlukan pengesahan guru yang barautoriti dalam pendidikan Islam. ( AL ISLAM Januari 2001, halaman 53-54 ) .
Dapat disimpulkan di sini, pengajian Islam secara maya bukan sahaja memberikan kesan positif kepada masyarakat kita pada hari, malah mempunyai kesan negatif juga disebalik kebaikannya itu. Contonya penggunaan medium teknologi pada hari ini iaitu internet selalunya bercita-cita tinggi untuk menggunakan media sebagai saluran berdakwah, namun dari segi penyalurannya tidak begitu berjaya. Tidak boleh dengan sekadar membina website, kita berharap ia akan dilayari tanpa garis panduan dalam konteksnya sebagai media.
Antara yang utama ialah memperbaharui mesej. Malah dalam al-Quran juga disebutkan mengenai an-Naba’ al Khabar, yang menampakkan konsepnya sudah dalam Islam. Sayangnya kita tidak jelmakan konsep itu dalam bentuk media elektronik. Sebab itu mesejnya kering kerana tiada unsure yang menarik orang ntuk melawat website tersebut. Jika ingin diwujudkan website Islam, ia harus diwujudkan secara teratur, yang menggabungkan kedua-dua belah pihak secara sepenuh masa. ( AL ISLAM Januari 2001, halaman 54 ) .

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Beberapa hari lepas, sy terlihat sebuah kereta berhendi di depan "cyber cafe", 2 org kanak2 cina keluar dari kereta yang dipandu ibu-bapanya. 5 min selepas itu, kereta tu dtg kembali, ibu kanak2 tersebut membawa botol minuman sambil masuk ke dlm cybercafe itu. Terlupa agaknya kanak2 tu utk membawa air minuman.

Apa rahsia mereka ya.

Dari segi pelajaran memang no1.
Mungkin mereka dah ada byk buku rujukan.
Mungkin mereka dah habis belajar
ikut timetable hari tu.
Mungkin mereka dah keluar peluh bersenam di padang.
Dan semestinya ibu-bapa mereka tahu dimana mereka ada sekarang.



Anonymous said...

Assalamualaikum.

Beberapa hari lepas, sy terlihat sebuah kereta berhendi di depan "cyber cafe", 2 org kanak2 cina keluar dari kereta yang dipandu ibu-bapanya. 5 min selepas itu, kereta tu dtg kembali, ibu kanak2 tersebut membawa botol minuman sambil masuk ke dlm cybercafe itu. Terlupa agaknya kanak2 tu utk membawa air minuman.

Apa rahsia mereka ya.

Dari segi pelajaran memang no1.
Mungkin mereka dah ada byk buku rujukan.
Mungkin mereka dah habis belajar
ikut timetable hari tu.
Mungkin mereka dah keluar peluh bersenam di padang.
Dan semestinya ibu-bapa mereka tahu dimana mereka ada sekarang.