Followers

Friday, March 16, 2012

CIKGU OH CIKGU

Perkembangan mutakhir dalam masyarakat kita menggambarkan bahawa masalah dan cabaran  terus meningkat dari semasa ke semasa. Arus perubahan yang kuat melanda masyarakat menuntut satu pembaharuan yang bermisikan pembangunan kualiti insan dijanakan agar impian mewujudkan masyarakat murni dapat direalisasikan. Dalam hal ini penggemblengan tenaga dan fikiran dari setiap lapisan masyarakat adalah dituntut untuk tidak membiarkan agenda besar ini menjadi tatapan dan fantasi semata-mata. Pemantapan dan pembinaan generasi pelajar dari aspek kualiti jati diri, aqidah, intelektual, moral dan akhlak adalah satu tuntutan murni agar pelajar mempunyai idealisme perjuangan dalam tuntutan pembaharuan ketamadunan negara ini.

Dalam pengajaran di sekolah proses pengajaran dan pembelajaran haruslah di beri perhatian sepenuhnya. Proses pengajaran dan pembelajaran ini melibatkan guru dan pelajar dan sememangnya memerlukan satu usaha yang berpanjangan ke arah menyediakan pendidikan yang komprehensif dan efektif terhadap segala isi pembelajaran yang disampaikan. Kejayaan seseorang biasanya akan dikaitkan dengan faktor pendidikannya. Bukan setakat siapakah gurunya yang akan dipersoalkan malah latar belakang keluarga, permakanan, pekerjaan penjaga, amalan dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kehidupan seseorang itu tadi. Sebenarnya faktor-faktor yang menyumbang kepada pengajaran yang berkesan tidak sahaja bergantung kepada kemampuan insan yang bergelar guru akan tetapi ianya memerlukan pemahaman, pengorbanan dan kerjasama daripada banyak pihak. Namun begitu guru memiliki peratusan yang sangat besar serta memainkan peranan yang sangat penting bagi membentuk kejayaan muridnya.

Globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat pada masa kini juga telah memberi kesan terhadap bidang pendidikan.  Kementerian Pelajaran Malaysia pula telah membuat beberapa perubahan terhadap kurikulum, pedagogi, penilaian dan pengurusan pendidikan bagi menghadapi cabaran pada abad ini. Penggunaan teknologi maklumat merupakan alat bagi membantu pengajar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik.  Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar terkini seperti komputer akan dapat menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Ia dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru dan mampu menyelesaikan sebarang masalah pengajaran dan pembelajaran dengan baik.

Literatur tentang gaya pembelajaran jelas menunjukkan bahawa sememangnya terdapat pelbagai gaya pembelajaran dan individu-individu mempamerkan gaya yang unik. Setiap manusia dikurniakan otak yang sama bijak. Bergantung kepada manusia tersebut menggunakan otaknya dengan sebaik mungkin. Teknik belajar yang baik dapat membantu orang yang berkebolehan sederhana mencapai keputusan yang cemerlang berbanding dengan orang yang berkebolehan baik tetapi mempunyai teknik yang lemah. Sesuatu teknik atau kaedah belajar yang baik akan menjimatkan masa, memudahkan kerja, menambat minat dan boleh kita menguasai pelajaran kita. Semua orang ingin mencapai keputusan yang cemerlang tetapi tidak tahu bagaimana untuk mencapainya. Seringkali ramai penuntut yang beranggapan bahawa keputusan cemerlang hanya untuk orang yang bijak pandai sahaja.

Pada tahun 1979, sebuah akhbar terkemuka di London telah membuat satu kenyataan yang amat serius tentang profesion perguruan dengan memetik pendapat umum bahawa hendak menjadi seorang guru di kota London amatlah mudah, lebih mudah  daripada menaiki bas. Kenyataan ini dibuat kerana umum berpendapat bahawa tugas seorang guru adalah amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa latihan yang kompleks. Ia juga merupakan satu kemahiran yang boleh dikuasai oleh sebarangan manusia. Saya rasa keadaan dan pendapat ini berjangkit daripada sikap guru itu sendiri. Bilik darjah kini penuh dengan guru yang sehingga kini menyampaikan isi pelajaran tanpa mengira sama ada murid belajar ataupun tidak, dan seterusnya merasai bahawa beliau telah menjalankan tugasnya sebagai guru dengan memuaskan. Mereka tidak sedar ataupun sengaja melupai konsep asas pengajaran iaitu :

Guru mengajar = murid belajar

Kebanyakan guru di bilik darjah tidaklah boleh digolongkan ke dalam kumpulan ini.  Dalam hal ini satu aspek yang penting harus dikuasai iaitu kaedah dan teknik bagaimana caranya untuk menyampai isi pelajaran. Ini termasuk teknik bilik darjah dan pendekatan serta kaedah penyampaian sesuatu jenis ilmu pengetahuan.
Justeru kaedah perlu ada dalam setiap aspek pembelajaran. Perkataan "kaedah" pula bermaksud cara atau sistem dalam melakukan sesuatu perbuatan (Kamus Dewan, 2000:557). Mok Soon Sang (2002: 5 1-52) pula mendefinasikan kaedah sebagai cara atau peraturan untuk membuat sesuatu. Kaedah juga bermaksud satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang spesifik dalam jangka masa yang pendek. Tanpa kaedah yang terancang dan bersesuaian, sesuatu yang diusahakan itu tidak mungkin sempurna hasilnya. Untuk membaca  al-Quran, kaedah amat penting diketahui dan dipraktikkan. Ianya tidak boleh dibaca begitu sahaja secara membuta tuli kerana cara ini tidak berkesan, membosankan dan terdedah kepada kesalahan.

Jadi seorang pendidik harus memahami kepelbagaian gaya pembelajaran pelajar supaya kaedah pengajaran yang sesuai boleh digunakan. Sedapat-dapatnya, kaedah padanan (matching) gaya pembelajaran dengan gaya  pengajaran harus dilakukan. Ini memandangkan dapatan kajian-kajian yang lepas Dunn, Dunn & Price, 1989; Orsak, 1990; Perrin, (1990) yang mendapati pencapaian yang signifikan dalam pembelajaran apabila padanan dilakukan. Seandainya keadaan tidak mengizinkan, usaha harus ke arah menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran agar tuntutan gaya pembelajaran yang berbagai-bagai dalam satu-satu kelas dapat dipenuhi.

Menjadi guru berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil dicapai. Prasyarat yang utama dan pertama ialah kesediaan dan keanggupan guru-guru sendri mengubah paradigma, mengubah cara berfikir dan bertindak secara orang-orang profesional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat.

(Rujukan : MOS- Rosmiyati Billak, lATIHAN iLMIAH -Khairiah Billak)