Followers

Sunday, January 29, 2012

ABIM sebagai sebuah Gerakan Dakwah

Kini terdapat banyak gerakan Islam di Malaysia.  Pertubuhan badan bukan kerajaan juga turut menjalankan aktiviti dakwah dan memainkan peranan yang amat besar dalam perkembangan dakwah Islam di Malaysia.  Wujudnya institusi bukan kerajaan ini merancakkan lagi aktiviti dakwah yang secara tidak langsung meningkatkan kefahaman umat Islam dan orang bukan Islam tentang Islam.  Sekaligus situasi ini merapatkan jurang perhubungan masyarakat majmuk di Malaysia (Abdul Aziz Mohd Zin 2006: 169). Terdapat beberapa pergerakan Islam di Malaysia terutamanya yang beraliran “tradisionalis” dan “fundamentalis”.   Bagaimanapun kajian ini menumpukan kepada pergerakan Islam beraliran “fundamentalis” seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (Fauzi Zakaria 2007:123).

 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merupakan sebuah gerakan Islam di Malaysia.   ABIM telah diasaskan oleh sekumpulan belia Islam yang aktif dengan hasrat untuk memenuhi kekosongan harakah Islamiah pada peringkat pergerakan belia seterusnya untuk menyediakan kader-kader pendakwah dalam bidang kerjaya (Abdul Aziz Mohd Zin 2006: 169).  ABIM telah ditubuhkan pada 1971 dan melalui ABIM pemikiran gerakan Islam ternama terutamanya al-Ikhwan al-Muslimun dan Jama’at Islami disebarkan dengan lancar.  Pemikiran yang paling fundamental sekali pada masa itu ialah pemikiran Sayyid Qutb dan al-Maududi (Fauzi Zakaria 2007:145). 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)  adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu  (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia.  Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

Sama ada melihat peranan pembaharuan harus dilakukan oleh individu atau berkumpulan yang lebih penting ialah hakikat bahawa peranan yang tertanggung oleh mereka yang terlibat dengan usaha pembaharuan, dakwah atau islah adalah amat besar dan berat.  Sebagai penggerak kepada masyarakat, pendokong gerakan harus mempersiapkan diri mereka lebih dari sasaran dakwah yang mereka ingin dekati.  Dalam dakwah, penggerak gerakan Islam sekurang-kurangnya perlu terlebih dahulu memahami beberapa perkara asasi iaitu matlamat akhir atau arah tuju yang ingin digerakkan dalam masyarakat.  Selain itu pendokong gerakan juga harus memahami keadaan dan permasalahan lingkungan masyarakat yang ingin digerakkannya.  Pendokong gerakan Islam juga harus mengetahui cara dan manhaj terbaik yang akan digunakan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat.  Masyarakat yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza untuk menangani permasalahan yang ada.  Justeru itu, ahli gerakan harus mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam menjalankan dakwah kepada sasaran mereka (Mohd Farid Mohd Shahran 2009: 18-19).    

ABIM sentiasa melihat perjuangan untuk merealisasikan Islam sebagai ad-Din sebagai suatu proses perubahan yang sifatnya halus dan bertahap.  Bagi ABIM dakwah tidak berkembang secara mendadak tetapi melalui proses perubahan yang bergantung kepada keberkesanan dakwah itu sendiri.  Secepat mana dakwah berkembang ada kaitannya dengan kualiti pendakwah dan programnya (Ahmad Azam Abdul Rahman 2001: 2). 

ABIM menggunakan pendekatan dakwah dan tarbiah.  Dakwah dalam erti kata lain menyampaikan Islam dengan seutuh, selengkap dan setepatnya.  Dakwah sangat luas; seluas ruang lingkup Islam dan seluas kehidupan manusia.  Oleh itu, ada orang yang menuduh ABIM berpolitik apabila ABIM menyentuh isu-isu sosio-ekonomi seperti keadilan, rasuah, kezaliman dan penindasan serta hak asasi manusia.  Dakwah dan gerakan Islam tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain.  Dakwah merupakan segala usaha ke arah menyeru kebaikan dan meninggalkan keburukan (Ahmad Rumaizuddin Ghazali 2003: 10).  

Gerakan Islam mestilah sebuah gerakan Islah yang mengasaskan perjuangannya kepada interaksi sosial dan kesedaran seseorang insan untuk membina kebaikan dan menonjolkan nilai-nilai al-Quran  yang terdapat dalam dirinya.  Gerakan Islam bukan gerakan politik eksklusif tetapi ia bertanggungjawab untuk mengerah dan mengarah kader-kader yang memiliki kemampuan dan potensi pemimpin supaya melibatkan diri dalam dunia kepimpinan.  Gerakan Islam perlu muncul sebagai gerakan Islah global yang memfokuskan wawasan umat ke arah ketuhanan, memandu mereka ke arah al-Quran supaya mereka dapat mengecapi nikmat yang berharga dalam setiap ruang kehidupan (Ahmad Rumaizuddin Ghazali 2003: 10).                                   

rujukan : 

 Rosmiyati Billak. (2011). Peranan ABIM dalam Penyebaran Dakwah di Johor. Latihan Ilmiah.Universiti Sultan Zainal Abidin.


5 comments:

Unknown said...

asalam..xder rujukan ke?
sy nak tgk ruukan boleh x? hehe

Unknown said...

AD RUJUKAN X? NK TGK RUJUKAN BOLEH? KLAU BOLEH LA...HEHE

Unknown said...

assalamualaikum...boleh x sy nak smua rujukan di ats?

NUR DAIE said...

rujukan dah diletakkan di atas tu.. tesis kajian rosmiyati haji billak

NUR DAIE said...

boleh dapatkan tesis ni di Perpustakaan UniSZa