Followers

Saturday, June 11, 2016

.::DAKWAH SECARA UMUM::.

Assalamualaikum wbt. Sidang pembaca yang dikasihi, hari ini Nur Daie nak kongsikan definisi dakwah yang Nur Daie telah masukkan dalam tesis Nur Daie, moga dapat menjadi rujukan kepada semua yang sedang mencari rujukan atau sebagainya. 


DAKWAH SECARA UMUM
Menurut Abdul Ghafar Don (2005: 1), dakwah adalah usaha mengajak manusia kepada kebaikan (al-khair) dan menghindari kejahatan, kerosakan dan lain-lain amalan keji.  Matlamat akhirnya mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah.  Usaha dakwah ini pula sudah tentu perlu disampaikan dengan baik, sistematik dan mengikut kaedah tertentu.

Menurut Zulkiple Abd Ghani (2005: 59-60), dakwah ialah ajakan atau seruan kepada umat manusia supaya beriman kepada Allah dengan mematuhi syariat yang ditentukan-Nya supaya manusia akan sentiasa merasa bahagia kerana memperolehi nikmat dalam kehidupan.  Dalam proses menyeru, pelbagai pendekatan boleh digunakan, dari merancang dan melaksanakan program-program tertentu sehingga kepada perkara kecil seperti membenci kemungkaran yang merosakkan kehidupan manusia.  Untuk menggerakkan dakwah, beberapa unsur boleh terlibat iaitu pendakwah, bahan dakwah, kaedah dakwah, sasaran dakwah dan kesan dari dakwah tersebut.

Menurut Zaki Masy’al (1985: 114), dakwah juga dapat didefinisikan sebagai menggalakkan manusia melakukan kebaikan, hidayah dan amar ma’ruf nahi mungkar, agar mereka mendapat kebahagian dunia dan akhirat.  Ia juga adalah satu misi untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan atau kejahatan yang berlaku, dan memberikan peringatan kepada mereka tentang perkara-perkara buruk yang dibimbangi mereka akan terjebak dalam kancahnya (Sulaiman Ibrahim 1998: 2).

Menurut al-Khuli (1983: 52) dakwah adalah suatu proses pemindahan umat daripada suatu lingkungan kepada suatu lingkungan lain, iaitu lingkungan kufur kepada Islam, kesesatan kepada hidayah, kejahatan kepada kebaikan dan unsur-unsur negatif kepada positif.

Mengikut Syeikh Ali Mahfuz, perkataan dakwah adalah berasal dari perkataan bahasa arab “ دعا ، يدعو ، دعوة ” yang bermaksud memanggil, mengajak, menyeru dan menjemput pada sesuatu yang merangsang kepada sesuatu tujuan (Ghazali Darusalam 1996: 1).

Dakwah merupakan suatu program komprehensif yang menaungi segala bentuk ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia agar mereka memahami tujuan kehidupan mereka dan supaya mereka memperolehi panduan dan pedoman hidup yang menjadikan mereka manusia yang terpimpin (Muhammad al-Ghazali 1965: 17).

Menurut Amran Kasimin (1985: 17) dakwah bermaksud setiap usaha menyeru manusia untuk beriman dan mentaati Allah, yang merangkumi usaha bimbingan akhlak, kehidupan berumahtangga, bermasyarakat, bernegara dan bertujuan memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Menurut Arifin (1991: 6), dakwah ialah satu kegiatan ajakan baik dalam bentuk lisan, tulisan, tingkah laku, dan sebagainya yang dilakukan secara sedar dan berencana dalam usaha mempengaruhi orang lain baik secara individu mahupun secara kelompok supaya timbul dalam dirinya suatu pengertian, kesedaran, sikap, penghayatan serta pengamalan terhadap ajaran agama sebagai mesej yang disampaikan kepadanya dengan tanpa adanya unsur-unsur paksaan.  Dari pendefinisian ini dapat difahami bahawa dakwah itu bukan semata-mata laungan yang tidak menentu tetapi ia merupakan satu seruan dan pembawaan hidup yang terancang untuk mempengaruhi sasaran.  Dakwah bukan semata-mata mengajar ilmu yang diturunkan melalui wahyu atau selalu disebutkan ilmu agama, tetapi juga mengandungi ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah kepada kehidupan manusia di dunia ini.
           

Menyampaikan dakwah adalah menyampaikan Islam itu sendiri dari segi mesejnya.  Secara dasarnya, seruan dakwah adalah seruan kepada peraturan hidup Islam.  Cara yang digunakan adalah bergantung dengan peraturan hidup manusia.  Berdakwah adalah tugas mengajak manusia supaya tunduk dan patuh kepada syariat Islam.  Cara hidup Islam adalah dengan mengatur peraturan hidup mengikut fitrah yang sebenarnya sebagaimana tujuan dan matlamat manusia dicipta oleh Allah.  

Moga bermanfaat buat semua :)

1 comment:

NUR DAIE said...

Siapa nak rujukan boleh tinggalkan komen ye, nanti Nur Daie bagi