Followers

Wednesday, August 4, 2010

Persiapan Ramadhan


Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah pertamanya marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya kita masih lagi diberi peluang dan kesempatan untuk meneruskan kehidupan seharian, dan kita masih lagi diberi peluang untuk menimba ilmu pengetahuan.

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian...

Bulan Rejab berlalu pergi, bulan sya'ban bakal melabuhkan tirai manakala bulan ramadhan semakin menghampiri, jadi suka bagi saya untuk memilih tajuk Persiapan ramadhan sebagai perkongsian kita pada kali ini.

Bulan ramadhan merupakan bulan yang dinanti-nantikan semua umat Islam kerana bulan ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah. Antara keistimewaan bulan ramadhan ialah:

1. Pintu syurga akan terbuka dengan luasnya
2. Pintu neraka akan tertutup serapat-rapatnya
3. Syaitan diikat dan dirantai

Permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan punca-punca amal kebaikan di bulan adalah terlalu banyak manakala rangsangan maksiat dan kejahatan adalah kurang dan terbatas.

Sahabat sekalian,

Berpuasa dapat mengajar manusia supaya makan sekadar yang patut sahaja dan menahan nafsu dari segala keinginan yang bertentangan dengan syariat agama. Selain itu seseorang yang berpuasa boleh mencapai puasa yang istimewa dengan 6 syarat sempena kita menyambut bulan ramadhan :

1. Hendaklah kita menjaga mata daripada memandang perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.

2. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh musuhan dan berbangga diri.

3. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram kerana Allah menyamakan mendengar perkara yang haram seperti memakan yang haram.

4. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara yang dilarang.

5. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka puasa sampai penuh perut

6. Hendaklah hati kita merasa goncang antara harap dan cemas setelah berbuka kerana kita tidak tahu apakah puasa kita diterima oleh Allah atau ditolak.

Jadi sahabat-sahabat marilah kita sama-sama membuat persediaan untuk menyambut bulan ramadhan dengan bertekad untuk memperbanyakkan amal ibadah. Dan saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita sama-sama mengimarahkan bulan ramadhan dengan solat terawih, istigfar, zikir dan sentiasa membasahkan lidah kita dengan kalam Allah. Wallahu a'lam..

~Ahlan ya ramadhan~

No comments: