Followers

Saturday, August 7, 2010

"Penyakit senyap" punca manusia huru hara

MANUSIA berdepan dengan pelbagai jenis penyakit. Ada penyakit ringan dan ada juga penyakit berat atau kronik iaitu penyakit yang menjejaskan kesihatan, tenaga dan kecerdasannya.


Bagaimanapun, penyakit yang lebih dikenali penyakit jasmani ini seperti demam, selesema, batuk, sakit kepala dan sebagainya mudah dikenal pasti, dikesan dan senang dirawat.

Di sebalik penyakit ini, ada penyakit lain yang menyerang manusia ‘secara senyap’ dan merebak tanpa disedari.

Ia terlalu sukar dirawati kerana penghidapnya langsung tidak menyedari dirinya menghidap penyakit terbabit sedangkan pada hakikatnya penyakit ini teramat bahaya, menyerang seseorang dari dalam, selain boleh menjejaskan akal, perasaan dan emosi seseorang.

Tidak terkecuali juga, penyakit dikenali penyakit umat atau sosial ini mampu menghuru-harakan hidup manusia.

Tidak hairanlah berkenaan hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, umatku akan ditimpa penyakit umat atau penyakit sosial masyarakat.

“Sahabat bertanya, apakah penyakit umat itu wahai Rasulullah?

“Sabda baginda: Penyakit kufur nikmat Allah. Penyakit sombong dan bongkak, penyakit tamak haloba, penyakit persaingan sesama sendiri untuk merebut kemewahan dan kemegahan dunia, penyakit benci-membenci dan penyakit hasad dengki hingga berlaku kezaliman dan menimbulkan huru-hara.”

Inilah penyakit paling berbahaya yang ‘menyerang’ umat Islam ketika ini.

Jika dilihat ciptaan manusia, manusia adalah seelok-elok ciptaan Allah di muka bumi berbanding makhluk lain.

Cuba renungi kepada diri sendiri, tentulah kita dapati bahawa kita dikurniakan Allah dengan anggota badan cukup dan sempurna, sepadan dan seimbang dengan bentuk badan kita.

Kita pula kelihatan begitu gagah, tampan, cantik dan menarik.

Jika dilihat kepada ciptaan itu, Allah mengurniakan manusia anggota seperti mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota lain.

Dikurniakan juga akal fikiran, hati nurani, perasaan dan nafsu yang semuanya menjadi nikmat tidak ternilai harganya.

Tidak cukup setakat itu, dikurniakan juga rezeki, yang membolehkan seseorang makan, minum dan menyediakan tempat tinggal serta pelbagai keperluan lagi.

Tidak kurang juga, diberikan pula ilmu, kepandaian dan kemahiran mengikut kadar usaha serta kemampuan masing-masing, di samping ditambah lagi kemudahan lain seperti kenderaan dan alat-alat perhubungan canggih.

Ternyata cukup banyak dan tidak terhitung nikmat-nikmat pemberian Ilahi itu. Justeru, semuanya nikmat ini sewajarnyalah diterima dengan penuh rendah diri dan syukur.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Ia memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 34).

Demikianlah antara harapan di sebalik pemberian nikmat itu. Namun, ayat ini sudah menjelaskan bahawa akan ada manusia yang tidak menyedari nikmat pemberian itu.

Manusia inilah dikatakan manusia berpenyakit yang perlu segera diubati untuk kembali ke pangkal jalan.

Manusia jenis ini bukan saja tidak mahu mensyukuri nikmat Allah, malah sanggup menggunakan nikmat itu untuk menderhaka kepada Allah dan mempertikaikan kesucian ajaran Islam.

Nikmat mata yang dikurniakan tidak digunakan melihat tanda kebesaran dan keagongan-Nya, kebenaran petunjuk serta hidayah Allah. manakala nikmat telinga pula tidak dimanfaatkan untuk mendengar kata-kata yang baik, pengajaran dan nasihat berguna.

Begitu juga dengan mulut. Mereka lebih lebih gemar menggunakannya untuk perkara buruk, menghasut, memfitnah dan memburukkan orang lain. Ilmu dan kepandaian pula digunakan untuk mengelirukan orang lain bagi kepentingan dan keuntungan diri sendiri.

Disebabkan kegagalan memanfaatkan nikmat ini, diri dikuasai pelbagai penyakit seperti sombong, riak dengki, tamak dan pelbagai lagi sifat-sifat tercela.

Sikap tercela itu pula akan terus meningkat dari semasa ke semasa hingga menyebabkan dia lupakan diri, lupa daratan dan lupa kepada kekuasaan Allah.

Satu penyakit berbahaya adalah penyakit bencikan orang lain. Disebabkan penyakit ini, berlaku pulau-memulau dan tidak bertegur sapa walaupun keluarganya sendiri ataupun jiran tetangganya.

Sakit demam tidak dilawati, mati hidup tidak diziarahi, kenduri kendara tidak dijemput dan bermacam-macam lagi.

Jika begini, maka umat Islam hidup dalam kucar-kacir, berpecah belah dan bersengketa. Ia ternyata menyimpang daripada landasan Islam dan ajaran yang disampaikan Rasulullah.

Apakah kita mempunyai tanda-tanda menghidap penyakit ini? Jika ya, segeralah berubat dengan kembali menghayati ajaran Islam sebenar agar hidup sentiasa dibajai keperibadian Muslim dan Mukmin sejati.

Renunglah firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia, yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami ayat Allah, dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan Allah dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A'raf, ayat 179).

No comments: