Followers

Showing posts with label [DAKWAH]. Show all posts
Showing posts with label [DAKWAH]. Show all posts

Saturday, June 11, 2016

.::DAKWAH SECARA UMUM::.

Assalamualaikum wbt. Sidang pembaca yang dikasihi, hari ini Nur Daie nak kongsikan definisi dakwah yang Nur Daie telah masukkan dalam tesis Nur Daie, moga dapat menjadi rujukan kepada semua yang sedang mencari rujukan atau sebagainya. 


DAKWAH SECARA UMUM
Menurut Abdul Ghafar Don (2005: 1), dakwah adalah usaha mengajak manusia kepada kebaikan (al-khair) dan menghindari kejahatan, kerosakan dan lain-lain amalan keji.  Matlamat akhirnya mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah.  Usaha dakwah ini pula sudah tentu perlu disampaikan dengan baik, sistematik dan mengikut kaedah tertentu.

Menurut Zulkiple Abd Ghani (2005: 59-60), dakwah ialah ajakan atau seruan kepada umat manusia supaya beriman kepada Allah dengan mematuhi syariat yang ditentukan-Nya supaya manusia akan sentiasa merasa bahagia kerana memperolehi nikmat dalam kehidupan.  Dalam proses menyeru, pelbagai pendekatan boleh digunakan, dari merancang dan melaksanakan program-program tertentu sehingga kepada perkara kecil seperti membenci kemungkaran yang merosakkan kehidupan manusia.  Untuk menggerakkan dakwah, beberapa unsur boleh terlibat iaitu pendakwah, bahan dakwah, kaedah dakwah, sasaran dakwah dan kesan dari dakwah tersebut.

Menurut Zaki Masy’al (1985: 114), dakwah juga dapat didefinisikan sebagai menggalakkan manusia melakukan kebaikan, hidayah dan amar ma’ruf nahi mungkar, agar mereka mendapat kebahagian dunia dan akhirat.  Ia juga adalah satu misi untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan atau kejahatan yang berlaku, dan memberikan peringatan kepada mereka tentang perkara-perkara buruk yang dibimbangi mereka akan terjebak dalam kancahnya (Sulaiman Ibrahim 1998: 2).

Menurut al-Khuli (1983: 52) dakwah adalah suatu proses pemindahan umat daripada suatu lingkungan kepada suatu lingkungan lain, iaitu lingkungan kufur kepada Islam, kesesatan kepada hidayah, kejahatan kepada kebaikan dan unsur-unsur negatif kepada positif.

Mengikut Syeikh Ali Mahfuz, perkataan dakwah adalah berasal dari perkataan bahasa arab “ دعا ، يدعو ، دعوة ” yang bermaksud memanggil, mengajak, menyeru dan menjemput pada sesuatu yang merangsang kepada sesuatu tujuan (Ghazali Darusalam 1996: 1).

Dakwah merupakan suatu program komprehensif yang menaungi segala bentuk ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia agar mereka memahami tujuan kehidupan mereka dan supaya mereka memperolehi panduan dan pedoman hidup yang menjadikan mereka manusia yang terpimpin (Muhammad al-Ghazali 1965: 17).

Menurut Amran Kasimin (1985: 17) dakwah bermaksud setiap usaha menyeru manusia untuk beriman dan mentaati Allah, yang merangkumi usaha bimbingan akhlak, kehidupan berumahtangga, bermasyarakat, bernegara dan bertujuan memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Menurut Arifin (1991: 6), dakwah ialah satu kegiatan ajakan baik dalam bentuk lisan, tulisan, tingkah laku, dan sebagainya yang dilakukan secara sedar dan berencana dalam usaha mempengaruhi orang lain baik secara individu mahupun secara kelompok supaya timbul dalam dirinya suatu pengertian, kesedaran, sikap, penghayatan serta pengamalan terhadap ajaran agama sebagai mesej yang disampaikan kepadanya dengan tanpa adanya unsur-unsur paksaan.  Dari pendefinisian ini dapat difahami bahawa dakwah itu bukan semata-mata laungan yang tidak menentu tetapi ia merupakan satu seruan dan pembawaan hidup yang terancang untuk mempengaruhi sasaran.  Dakwah bukan semata-mata mengajar ilmu yang diturunkan melalui wahyu atau selalu disebutkan ilmu agama, tetapi juga mengandungi ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah kepada kehidupan manusia di dunia ini.
           

Menyampaikan dakwah adalah menyampaikan Islam itu sendiri dari segi mesejnya.  Secara dasarnya, seruan dakwah adalah seruan kepada peraturan hidup Islam.  Cara yang digunakan adalah bergantung dengan peraturan hidup manusia.  Berdakwah adalah tugas mengajak manusia supaya tunduk dan patuh kepada syariat Islam.  Cara hidup Islam adalah dengan mengatur peraturan hidup mengikut fitrah yang sebenarnya sebagaimana tujuan dan matlamat manusia dicipta oleh Allah.  

Moga bermanfaat buat semua :)

Tuesday, June 7, 2016

.::Jangan Hidup Biasa-biasa, Hiduplah Luar Biasa::.

"Jangan hidup biasa-biasa, hiduplah luar biasa" 
Bicara seorang kakak kepada adik-adiknya di dalam slot perkongsian setelah sampai di puncak Bukit Soga, Batu Pahat Johor.

Family Day KPIJ Benut

Bagaimana hidup luar biasa?
Kita bangun dari tidur, pergi sekolah, belajar, balik, makan, tidur, dan esoknya kita ulang perkara yang sama, itu biasa-biasa, sama dengan orang lain. Kita perlu jadi luar biasa. 

"Kita belajar, bekerja, bekeluarga, berharta dan akhirnya meninggal dunia, itu biasa-biasa,  kita perlu menjadi luar biasa"_1
Kakak itu berkongsi kata-kata dari Ayahanda arwah Ahmad Ammar iaitu Ahmad Azzam yang dibaca dalam buku yang dibawanya

Kita ingin dicintai? kita ingin disayangi? Bagaimana ingin dicintai, ingin disayangi kalau kita hidup pun tidak pernah mahu berjasa.  Cuba kita lihat di luar sana, manusia yang dicintai oleh orang ramai semuanya hidup berjasa. Kita lihat perjuangan Nabi Muhammad yang kita cintai, kita lihat kehidupan Imam Syafie, Imam Al-Ghazali, Sultan Muhammad Al-Fateh dan ramai lagi yang boleh menjadi contoh teladan. Semuanya hidup berjasa dalam kehidupannya dan mereka dicintai serta disayangi.

Kalau nak hidup luar biasa aku mesti buat sesuatu yang orang boleh nampak.
Eh salah tu, Kita hidup luar biasa bukan untuk cari glamour, bukan untuk cari perhatian atau publisiti. Ingat kita perlu FOKUS kepada memberi manfaat & penghargaan, BUKAN pada perhatian dan melihat diri. Kalau kita buat sesuatu perkara hanya untuk mendapat perhatian mungkin memang perhatian yang akan kita dapat, tapi keberkatan belum tentu, dan ingatlah perhatian manusia hanya sementara,

Nur Daie nak kongsikan kata-kata yang pernah dibaca

"Hidup harus luar biasa, 
Jangan biasa-biasa sahaja, 
Kerana hidup kita hanya sekali, 
Justeru biar beerti"

Dewasa ini kita boleh lihat ramai orang diluar sana hanya hidup untuk dirinya sendiri. Cukup makan, cukup duit, cukup pakai. Ada juga bekerja sebab nak cari rezeki untuk anak, isteri dan keluarga. Tidak lebih daripada itu, jarang sekali kita dapat lihat orang bekerja kerana memikirkan kehidupan orang lain selain anak, isteri dan keluarga sendiri, kalau ada pun tidak ramai yang kita dapat lihat. Adakah kita di antara orang seperti ini? Tidakkah pernah  kita terfikir untuk berbakti dan mengurangkan beban orang lain? Tak guna kita ada Diploma, Degree, Master or PhD tapi kita tak pandang pun ummat di luar sana. 

Kita hidup bukan hanya untuk bangun, makan, solat, baca al-quran, puasa sahaja, TAPI kita mestilah sanggup buat more than that.  

Panjang lebar plak erkk.. Hihihi :)

Macam mana cara nak hidup luar biasa ni?  Apa caranya?
Mewakafkan sebahagian hidup kita untuk membuat kerja-kerja amal. 
Contohnya menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara seislam yang memerlukan di serata dunia.  (Banyak lagi contoh yang mudah untuk jadi luar biasa)

Pernah tak kita terbaca kisah Arwah Ahmad Ammar? Siapakah dia?

Beliau adalah Tokoh Maulidurrasul Peringkat Negeri Selangor dan Kebangsaan pada tahun 2014. Kematiannya yang pernah membuka mata dunia. Ahmad Ammar adalah lelaki biasa pada luarannya dan membesar dengan inspirasi keluarga serta cita-citanya adalah menjadi pejuang agama. Beliau sebaik mungkin cuba memenuhi impian ayahnya dan impiannya sendiri bagi menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai teladan dan idola termasuklah gerak kerja dan perjuangan yang tidak pernah menoleh ke belakang *2

AL-FATIHAH


Bila Nur Daie baca kisah Arwah Ahmad Ammar, Nur Daie dapat lihat persiapan seorang ayah dan ibu mempersiapkan anak untuk ummat, dan persiapan seorang anak sebagai pejuang agama. ini yang kita boleh jadikan contoh terutama kepada anak muda di luar sana. 

Akhir kalam dari Nur Daie

Hidup Biar Berjasa
Hidup Biar Bermatlamat
Hidup Jangan Biasa-biasa
Hidup dengan luar biasa
Jadilah orang yang sentiasa memberi
Hdup hanya sekali
Jadi biarlah bererti


Rujukan : 
1.Anwar Nursi (2014). Tuhan Ajari Aku. Selangor : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
2. Mohammad Qayyum Badaruddin (2014). Ahmad Ammar : Satu Kematian Yang Hidup. Kuala Lumpur :Percetakan Za far Sdn. Bhd.


Tuesday, January 18, 2011

sepanjang jalan dakwah kita memerlukan bekalan.....

            Setiap musafir di jalanan mesti mempunyai bekalan yang diperlukan sepanjang perjalanannya. Bekalan yang dimilikinya akan menyediakan keperluan-keperluan untuk dia meneruskan perjalanan dan menjayakan matlamat yang dituju dalam musafirnya itu. Ia merupakan langkah berjaga-aga tehadap rintangan yang akan menghalang perjalanannya. Rintangan yang menjadi sebab perjalanannya terhenti dan dia tidak mampu meneruskannya lagi. Kadang-kadang rintangan tersebut akan menjauhkannya daripada matlamat yang dituju atau setidak-tidaknya akan mengekang perjalanannya.

            Jalan dakwah adalah segalanya dalam hidup seseorang pendakwah di jalan Allah. Ia merupakan jalan utama yang perlu diberi perhatian. Lantaran itu pendakwah memerlukan bekalan yang dapat menjaganya daripada terseleweng dari jalan tersebut, memberhentikannya atau mengekang langkah kakinya. Fenomena-fenomena ini akan membawa kerugian yang nyata, bahkan ia akan kehilangan kebaikan yang besar dan kejayaan yang agung.

             Bekalan yang pertama adalah bekalan iman yang kuat dan taqwa kepada Allah. Itulah bekalan terbaik, kemudian diikuti dengan bantuan-bantuan lain seperti bertemankan orang soleh, penunjuk-penunjuk yang memberikan panduan dan pengalaman dan lain-lain.  Semua ini bertindak sebagai penjana tenaga dan keazaman serta menjauhkannya daripada penyelewengan dan kesilapan.

             Bukti kepada kemestian dan kepentingan seseorang untuk mempunyai bekalan sama seperti sebuah kereta yang berjalan jauh. Kemudian kereta tersebut kekeringan minyak dipertengahan jalan kerana tidak diisi minyak. Maka kereta tersebut menjadi seperti potongan besi yang tidak dapat membantu pemandunya walaupun untuk bergerak setapak. Begitu juga mereka yang menyelusuri jalan dakwah. Jika bekalan Iman dan taqwanya kepada Allah mengalami kekurangan dan kekeringan tanpa diperbaharui dan ditambah, jadilah tuannya seolah-olah mayat hidup atau pesakit yang tidak mampu bergerak.

            Bekalan iman dan taqwa dapat mengelakkan seseorang muslim daripada terbabas di selekoh-selekoh merbahaya dan memperjelaskan lagi petunjuk-petunjuk di jalan dakwah. Ia juga dapat membuahkan sikap benar, ikhlas, kuat keazaman dan tabah. Bukan setakat itu, ia bagaikan keajaiban yang menjayakan berbagai-bagai projek di sepanjang jalan dakwah.

             Sesungguhnya keperluan utama kita di sepanjang jalan dakwah ialah perasaan kebersamaan dengan Allah S.W.T dalam setiap langkah yang diatur dan dalam setiap gerak dan diam. Bahkan pada setiap ketika. Maka sesiapa yang merasakan Allah sentiasa bersamanya, dia tidak akan kehilangan apa-apa. Manakala barangsiapa yang berlepas diri daripada Allah, maka dia tidak menemui apa-apa, kecuali kerugian dan kesesatan. Kebersamaan ini sesungguhnya kurniaan Allah kepada orang-orang mukmin.

~ MUSTAFA MASYHUR : BEKALAN DALAM JALAN DAKWAH~