Assalamualaikum wbt. Sidang pembaca yang dikasihi, hari ini Nur Daie nak kongsikan definisi dakwah yang Nur Daie telah masukkan dalam tesis Nur Daie, moga dapat menjadi rujukan kepada semua yang sedang mencari rujukan atau sebagainya.
DAKWAH SECARA UMUM
Menurut
Abdul Ghafar Don (2005: 1), dakwah adalah usaha mengajak manusia kepada
kebaikan (al-khair) dan menghindari kejahatan, kerosakan dan lain-lain
amalan keji. Matlamat akhirnya mengajak
manusia mengabdikan diri kepada Allah.
Usaha dakwah ini pula sudah tentu perlu disampaikan dengan baik,
sistematik dan mengikut kaedah tertentu.
Menurut
Zulkiple Abd Ghani (2005: 59-60), dakwah ialah ajakan atau seruan kepada umat
manusia supaya beriman kepada Allah dengan mematuhi syariat yang ditentukan-Nya
supaya manusia akan sentiasa merasa bahagia kerana memperolehi nikmat dalam
kehidupan. Dalam proses menyeru,
pelbagai pendekatan boleh digunakan, dari merancang dan melaksanakan
program-program tertentu sehingga kepada perkara kecil seperti membenci
kemungkaran yang merosakkan kehidupan manusia.
Untuk menggerakkan dakwah, beberapa unsur boleh terlibat iaitu
pendakwah, bahan dakwah, kaedah dakwah, sasaran dakwah dan kesan dari dakwah
tersebut.
Menurut Zaki Masy’al (1985: 114), dakwah juga dapat didefinisikan sebagai
menggalakkan manusia melakukan kebaikan, hidayah dan amar ma’ruf nahi
mungkar, agar mereka mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Ia juga adalah satu misi untuk menyelamatkan
manusia daripada kesesatan atau kejahatan yang berlaku, dan memberikan peringatan
kepada mereka tentang perkara-perkara buruk yang dibimbangi mereka akan
terjebak dalam kancahnya (Sulaiman Ibrahim 1998: 2).
Menurut
al-Khuli (1983: 52) dakwah adalah suatu proses pemindahan umat daripada suatu
lingkungan kepada suatu lingkungan lain, iaitu lingkungan kufur kepada Islam,
kesesatan kepada hidayah, kejahatan kepada kebaikan dan unsur-unsur negatif
kepada positif.
Mengikut
Syeikh Ali Mahfuz, perkataan dakwah adalah berasal dari perkataan bahasa arab “ دعا ، يدعو ، دعوة ” yang
bermaksud memanggil, mengajak, menyeru dan menjemput pada sesuatu yang
merangsang kepada sesuatu tujuan (Ghazali Darusalam 1996: 1).
Dakwah merupakan suatu program komprehensif yang menaungi segala bentuk
ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia agar mereka memahami tujuan
kehidupan mereka dan supaya mereka memperolehi panduan dan pedoman hidup yang
menjadikan mereka manusia yang terpimpin (Muhammad al-Ghazali 1965: 17).
Menurut Amran Kasimin (1985: 17) dakwah bermaksud setiap usaha menyeru
manusia untuk beriman dan mentaati Allah, yang merangkumi usaha bimbingan
akhlak, kehidupan berumahtangga, bermasyarakat, bernegara dan bertujuan
memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Menurut Arifin (1991: 6), dakwah ialah satu kegiatan ajakan baik dalam
bentuk lisan, tulisan, tingkah laku, dan sebagainya yang dilakukan secara sedar
dan berencana dalam usaha mempengaruhi orang lain baik secara individu mahupun
secara kelompok supaya timbul dalam dirinya suatu pengertian, kesedaran, sikap,
penghayatan serta pengamalan terhadap ajaran agama sebagai mesej yang
disampaikan kepadanya dengan tanpa adanya unsur-unsur paksaan. Dari pendefinisian ini dapat difahami bahawa
dakwah itu bukan semata-mata laungan yang tidak menentu tetapi ia merupakan
satu seruan dan pembawaan hidup yang terancang untuk mempengaruhi sasaran. Dakwah bukan semata-mata mengajar ilmu yang
diturunkan melalui wahyu atau selalu disebutkan ilmu agama, tetapi juga
mengandungi ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah kepada kehidupan manusia di
dunia ini.
Menyampaikan dakwah adalah menyampaikan Islam itu sendiri dari segi
mesejnya. Secara dasarnya, seruan dakwah
adalah seruan kepada peraturan hidup Islam.
Cara yang digunakan adalah bergantung dengan peraturan hidup manusia. Berdakwah adalah tugas mengajak manusia
supaya tunduk dan patuh kepada syariat Islam.
Cara hidup Islam adalah dengan mengatur peraturan hidup mengikut fitrah
yang sebenarnya sebagaimana tujuan dan matlamat manusia dicipta oleh
Allah.
Moga bermanfaat buat semua :)