Followers

Saturday, June 11, 2016

.::DAKWAH SECARA UMUM::.

Assalamualaikum wbt. Sidang pembaca yang dikasihi, hari ini Nur Daie nak kongsikan definisi dakwah yang Nur Daie telah masukkan dalam tesis Nur Daie, moga dapat menjadi rujukan kepada semua yang sedang mencari rujukan atau sebagainya. 


DAKWAH SECARA UMUM
Menurut Abdul Ghafar Don (2005: 1), dakwah adalah usaha mengajak manusia kepada kebaikan (al-khair) dan menghindari kejahatan, kerosakan dan lain-lain amalan keji.  Matlamat akhirnya mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah.  Usaha dakwah ini pula sudah tentu perlu disampaikan dengan baik, sistematik dan mengikut kaedah tertentu.

Menurut Zulkiple Abd Ghani (2005: 59-60), dakwah ialah ajakan atau seruan kepada umat manusia supaya beriman kepada Allah dengan mematuhi syariat yang ditentukan-Nya supaya manusia akan sentiasa merasa bahagia kerana memperolehi nikmat dalam kehidupan.  Dalam proses menyeru, pelbagai pendekatan boleh digunakan, dari merancang dan melaksanakan program-program tertentu sehingga kepada perkara kecil seperti membenci kemungkaran yang merosakkan kehidupan manusia.  Untuk menggerakkan dakwah, beberapa unsur boleh terlibat iaitu pendakwah, bahan dakwah, kaedah dakwah, sasaran dakwah dan kesan dari dakwah tersebut.

Menurut Zaki Masy’al (1985: 114), dakwah juga dapat didefinisikan sebagai menggalakkan manusia melakukan kebaikan, hidayah dan amar ma’ruf nahi mungkar, agar mereka mendapat kebahagian dunia dan akhirat.  Ia juga adalah satu misi untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan atau kejahatan yang berlaku, dan memberikan peringatan kepada mereka tentang perkara-perkara buruk yang dibimbangi mereka akan terjebak dalam kancahnya (Sulaiman Ibrahim 1998: 2).

Menurut al-Khuli (1983: 52) dakwah adalah suatu proses pemindahan umat daripada suatu lingkungan kepada suatu lingkungan lain, iaitu lingkungan kufur kepada Islam, kesesatan kepada hidayah, kejahatan kepada kebaikan dan unsur-unsur negatif kepada positif.

Mengikut Syeikh Ali Mahfuz, perkataan dakwah adalah berasal dari perkataan bahasa arab “ دعا ، يدعو ، دعوة ” yang bermaksud memanggil, mengajak, menyeru dan menjemput pada sesuatu yang merangsang kepada sesuatu tujuan (Ghazali Darusalam 1996: 1).

Dakwah merupakan suatu program komprehensif yang menaungi segala bentuk ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia agar mereka memahami tujuan kehidupan mereka dan supaya mereka memperolehi panduan dan pedoman hidup yang menjadikan mereka manusia yang terpimpin (Muhammad al-Ghazali 1965: 17).

Menurut Amran Kasimin (1985: 17) dakwah bermaksud setiap usaha menyeru manusia untuk beriman dan mentaati Allah, yang merangkumi usaha bimbingan akhlak, kehidupan berumahtangga, bermasyarakat, bernegara dan bertujuan memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Menurut Arifin (1991: 6), dakwah ialah satu kegiatan ajakan baik dalam bentuk lisan, tulisan, tingkah laku, dan sebagainya yang dilakukan secara sedar dan berencana dalam usaha mempengaruhi orang lain baik secara individu mahupun secara kelompok supaya timbul dalam dirinya suatu pengertian, kesedaran, sikap, penghayatan serta pengamalan terhadap ajaran agama sebagai mesej yang disampaikan kepadanya dengan tanpa adanya unsur-unsur paksaan.  Dari pendefinisian ini dapat difahami bahawa dakwah itu bukan semata-mata laungan yang tidak menentu tetapi ia merupakan satu seruan dan pembawaan hidup yang terancang untuk mempengaruhi sasaran.  Dakwah bukan semata-mata mengajar ilmu yang diturunkan melalui wahyu atau selalu disebutkan ilmu agama, tetapi juga mengandungi ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah kepada kehidupan manusia di dunia ini.
           

Menyampaikan dakwah adalah menyampaikan Islam itu sendiri dari segi mesejnya.  Secara dasarnya, seruan dakwah adalah seruan kepada peraturan hidup Islam.  Cara yang digunakan adalah bergantung dengan peraturan hidup manusia.  Berdakwah adalah tugas mengajak manusia supaya tunduk dan patuh kepada syariat Islam.  Cara hidup Islam adalah dengan mengatur peraturan hidup mengikut fitrah yang sebenarnya sebagaimana tujuan dan matlamat manusia dicipta oleh Allah.  

Moga bermanfaat buat semua :)

Wednesday, June 8, 2016

.::Rindu | Nikmat | Ujian::.


Rafiqah melihat ke luar tingkap biliknya, kelihatan hujan turun dengan renyai-renyai. Sedang asyik mengelamun, tiba-tiba kedengaran 

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap namamu
Terasa diriku semakin dipandu


Lagu yang bermain di corong telefon bimbitnya mengganggu lamunannya,  1 panggilan tidak dijawab. Rafiqah hanya membiarkan deringan itu untuk kedua kalinya. Hatinya masih rindu mengingatkan seseorang yang tersayang. Bunyi Whatsapp masuk bertalu-talu juga tidak dilihatnya.

Seusai solat tadi, macam-macam perkara bermain difikiran, buntu, keliru, resah, gelisah, rindu bertamu. Segala kenangan indah bersama orang yang sangat dirinduinya bermain difikiran, hatinya menangis tatkala mengenang kenangan-kenangan lama saat bersamanya. Alangkah indahnya jika masa bisa diundur.

 Satu ayat terlintas dibenak Rafiqah "Mengapa semua ini terjadi pada diriku, kenapa orang yang aku sayang selalunya pergi meninggalkanku" 

Tiba-tiba hujan mengalir membasahi pipi, kerana terlalu rindu membuatkan Rafiqah menjadi sangat syahdu, hujan mengalir tidak berhenti. Telekung yang dipakainya juga sudah basah. Saat sedang melayan kesedihan, tiba-tiba 1 whatsapp masuk. Rafiqah mengambil telefon bimbitnya kerana sejak tadi dibiarkan sahaja,nyata Allah seakan-akan mahu menunjukkan sesuatu bahawa apa yang difikirkan Rafiqah tidak benar. Whatsapp daripada sahabat yang dirindui masuk.

Allah mendatangkan sahabat baiknya saat Rafiqah sedang bersedih,walau hanya bertanya khabar, Rafiqah yakin Allah ingin menunjukkan sesuatu, Rafiqah tersedar, Allah memberikan suatu nikmat pada Rafiqah, iaitu nikmat rindu bertamu. Rindu pada seseorang yang tersayang. Dan saat sedih bertamu Allah datangkan seorang sahabat supaya kesedihan itu tidak berpanjangan. Rafiqah teringat ayat al-quran "Nikmat Tuhanmu yang mana engkau dustakan?" Allahu....

Ya Allah, maafkanlah hambamu ini, tidak terlintas dihati ingin mendustakan nikmat darimu, ku tahu ujian yang datang kepada diriku kerana Allah sayang padaku. Maafkan aku Ya Rabbi. 


Ujian, dugaan dan cabaran akan mendatangi diri setiap manusia tidak kira waktu dan tempat. Ia akan datang pada sesiapa sahaja. Semuanya akan diuji. 
_____________________________________________________


Sahabat pembaca sekalian, cerita di atas bukan semata-mata dikarang, cerita ini ingin dikaitkan dengan ujian. Kadang-kala apabila kita didatangkan dengan ujian, tanpa kita sedar kita seakan mempersoalkan kerja Tuhan itulah yang biasa dilakukan. 

Teringat perkongsian daripada Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang mengatakan dalam facebooknye :

" Ketika Allah menyayangi kita, lalu kita diuji, seteguh mana keyakinan dan keimanan kita, kenapa berbeza? jawabnya disebab keimanan kita pun berbeza, cuma percayalah tiada ujian yang dikenakan melainkan kita mampu memikulnya" 

 Sidang pembaca yng budiman, janganlah kita mengeluh tatkala ujian diberikan, bersyukurlah kerana dengan ujian yang didatangkan kepada kita menunjukkan tanda kasih sayang Allah kepada hambanya. Bila ujian didatangkan carilah hikmah yang tersembunyi, pasti bahagia menanti.




Tuesday, June 7, 2016

.::Jangan Hidup Biasa-biasa, Hiduplah Luar Biasa::.

"Jangan hidup biasa-biasa, hiduplah luar biasa" 
Bicara seorang kakak kepada adik-adiknya di dalam slot perkongsian setelah sampai di puncak Bukit Soga, Batu Pahat Johor.

Family Day KPIJ Benut

Bagaimana hidup luar biasa?
Kita bangun dari tidur, pergi sekolah, belajar, balik, makan, tidur, dan esoknya kita ulang perkara yang sama, itu biasa-biasa, sama dengan orang lain. Kita perlu jadi luar biasa. 

"Kita belajar, bekerja, bekeluarga, berharta dan akhirnya meninggal dunia, itu biasa-biasa,  kita perlu menjadi luar biasa"_1
Kakak itu berkongsi kata-kata dari Ayahanda arwah Ahmad Ammar iaitu Ahmad Azzam yang dibaca dalam buku yang dibawanya

Kita ingin dicintai? kita ingin disayangi? Bagaimana ingin dicintai, ingin disayangi kalau kita hidup pun tidak pernah mahu berjasa.  Cuba kita lihat di luar sana, manusia yang dicintai oleh orang ramai semuanya hidup berjasa. Kita lihat perjuangan Nabi Muhammad yang kita cintai, kita lihat kehidupan Imam Syafie, Imam Al-Ghazali, Sultan Muhammad Al-Fateh dan ramai lagi yang boleh menjadi contoh teladan. Semuanya hidup berjasa dalam kehidupannya dan mereka dicintai serta disayangi.

Kalau nak hidup luar biasa aku mesti buat sesuatu yang orang boleh nampak.
Eh salah tu, Kita hidup luar biasa bukan untuk cari glamour, bukan untuk cari perhatian atau publisiti. Ingat kita perlu FOKUS kepada memberi manfaat & penghargaan, BUKAN pada perhatian dan melihat diri. Kalau kita buat sesuatu perkara hanya untuk mendapat perhatian mungkin memang perhatian yang akan kita dapat, tapi keberkatan belum tentu, dan ingatlah perhatian manusia hanya sementara,

Nur Daie nak kongsikan kata-kata yang pernah dibaca

"Hidup harus luar biasa, 
Jangan biasa-biasa sahaja, 
Kerana hidup kita hanya sekali, 
Justeru biar beerti"

Dewasa ini kita boleh lihat ramai orang diluar sana hanya hidup untuk dirinya sendiri. Cukup makan, cukup duit, cukup pakai. Ada juga bekerja sebab nak cari rezeki untuk anak, isteri dan keluarga. Tidak lebih daripada itu, jarang sekali kita dapat lihat orang bekerja kerana memikirkan kehidupan orang lain selain anak, isteri dan keluarga sendiri, kalau ada pun tidak ramai yang kita dapat lihat. Adakah kita di antara orang seperti ini? Tidakkah pernah  kita terfikir untuk berbakti dan mengurangkan beban orang lain? Tak guna kita ada Diploma, Degree, Master or PhD tapi kita tak pandang pun ummat di luar sana. 

Kita hidup bukan hanya untuk bangun, makan, solat, baca al-quran, puasa sahaja, TAPI kita mestilah sanggup buat more than that.  

Panjang lebar plak erkk.. Hihihi :)

Macam mana cara nak hidup luar biasa ni?  Apa caranya?
Mewakafkan sebahagian hidup kita untuk membuat kerja-kerja amal. 
Contohnya menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara seislam yang memerlukan di serata dunia.  (Banyak lagi contoh yang mudah untuk jadi luar biasa)

Pernah tak kita terbaca kisah Arwah Ahmad Ammar? Siapakah dia?

Beliau adalah Tokoh Maulidurrasul Peringkat Negeri Selangor dan Kebangsaan pada tahun 2014. Kematiannya yang pernah membuka mata dunia. Ahmad Ammar adalah lelaki biasa pada luarannya dan membesar dengan inspirasi keluarga serta cita-citanya adalah menjadi pejuang agama. Beliau sebaik mungkin cuba memenuhi impian ayahnya dan impiannya sendiri bagi menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai teladan dan idola termasuklah gerak kerja dan perjuangan yang tidak pernah menoleh ke belakang *2

AL-FATIHAH


Bila Nur Daie baca kisah Arwah Ahmad Ammar, Nur Daie dapat lihat persiapan seorang ayah dan ibu mempersiapkan anak untuk ummat, dan persiapan seorang anak sebagai pejuang agama. ini yang kita boleh jadikan contoh terutama kepada anak muda di luar sana. 

Akhir kalam dari Nur Daie

Hidup Biar Berjasa
Hidup Biar Bermatlamat
Hidup Jangan Biasa-biasa
Hidup dengan luar biasa
Jadilah orang yang sentiasa memberi
Hdup hanya sekali
Jadi biarlah bererti


Rujukan : 
1.Anwar Nursi (2014). Tuhan Ajari Aku. Selangor : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
2. Mohammad Qayyum Badaruddin (2014). Ahmad Ammar : Satu Kematian Yang Hidup. Kuala Lumpur :Percetakan Za far Sdn. Bhd.


Monday, June 6, 2016

.::HIKMAH::.



Setiap orang pasti pernah rasa diuji
Setiap orang pasti pernah rasa tak kuat bila diuji
Setiap orang pasti pernah bersedih dengan apa yang menimpa dirinya tidak seperti yang diinginkan
Setiap orang pasti pernah merungut dengan ujian
Setiap orang pasti pernah putus asa dengan ujian
Setiap orang pasti pernah kecewa bila tiada harapan



Pembaca Nur Daie yang dicintai kerana Allah, 
Jika kita didatangkan dengan ujian, 
Yakin dan yakin dengan ALLAH
Yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan diri hambanya
Doa, Senyum, Yakin, Positif itu yang terbaik

Pembaca Nur Daie yang dikasihi kerana Allah, 

Belajarlah ambil pengalaman disebalik ujian
Pengalaman adalah kunci hidup
Pengalaman perlukan pengorbanan
Pengorbanan untuk harga yang perlu dibayar
Setiap harga ada hikmah
Setiap hikmah perlu dicari
Cari hikmah yang positif
Baru hidup sentiasa diberkati


Sunday, June 5, 2016

.::Nur Daie Kembali::.

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar semua pembaca? Setelah sekian lama Nur Daie tidak beraksi, bukan kemana tetapi sibuk dengan pelbagai tugasan harian.

Untuk permulaan, Nur Daie tidak berniat untuk mengarang dengan panjang, tetapi lebih kepada ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa, semoga ramdhan kali ini lebih bermakna buat kita semua.

Nur Daie terpaksa mengundur diri terlebih dahulu, nantikan kemunculan Nur Daie lagi :)

Tuesday, March 1, 2016

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK

Khas buat semua, di sini kami ingin memaklumkan bahawa pihak kami telah berbincang untuk mengadakan PERTANDINGAN VIDEO PENDEK BERKONSEPKAN DAKWAH. Dengan ini kami membuka penyertaan kepada SEMUA untuk menyertai pertandingan ini sekaligus bersama-sama KPIJ dalam menyebarkan dakwah.

Berikut adalah butiran berkaitan pertandingan.

🎞Pertandingan Video Dakwah🎞

💐Anjuran : Majlis Amirah  KPIJ Daerah Pontian

💐Tema : Sayangi Auratmu

💐Syarat Pertandingan :
Peserta mestilah berumur 25 tahun ke bawah
Terbuka kepada semua yang berumur 13-25 tahun (individu)
Harus menghasilkan video pendek selama 2 minit
Harus mengikut tema
Tempoh pertandingan 1-15 Mac 2016

💐Jenis Video : Lakonan/grafik


💐Pertanyaan/Penyertaan : Faranadia(011-40475218) Syafikah (017-7412394)


Saturday, January 9, 2016

Tahun Baru 2016

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...

Syukur padaMu Ya Rabb kerana memberi ruang dan peluang untuk hidup di dunia  sehingga hari ini.  Mari kita sama-sama mengucapkan rasa syukur dengan memperbanyakkan amal ibadah kita dan berazam supaya amal ibadah kita untuk tahun ini lebih baik dari tahun lepas. 

Di kesempatan ini, Nur Daie ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU kepada semua pembaca BLOG NUR DAIE.