Followers

Tuesday, January 18, 2011

sepanjang jalan dakwah kita memerlukan bekalan.....

            Setiap musafir di jalanan mesti mempunyai bekalan yang diperlukan sepanjang perjalanannya. Bekalan yang dimilikinya akan menyediakan keperluan-keperluan untuk dia meneruskan perjalanan dan menjayakan matlamat yang dituju dalam musafirnya itu. Ia merupakan langkah berjaga-aga tehadap rintangan yang akan menghalang perjalanannya. Rintangan yang menjadi sebab perjalanannya terhenti dan dia tidak mampu meneruskannya lagi. Kadang-kadang rintangan tersebut akan menjauhkannya daripada matlamat yang dituju atau setidak-tidaknya akan mengekang perjalanannya.

            Jalan dakwah adalah segalanya dalam hidup seseorang pendakwah di jalan Allah. Ia merupakan jalan utama yang perlu diberi perhatian. Lantaran itu pendakwah memerlukan bekalan yang dapat menjaganya daripada terseleweng dari jalan tersebut, memberhentikannya atau mengekang langkah kakinya. Fenomena-fenomena ini akan membawa kerugian yang nyata, bahkan ia akan kehilangan kebaikan yang besar dan kejayaan yang agung.

             Bekalan yang pertama adalah bekalan iman yang kuat dan taqwa kepada Allah. Itulah bekalan terbaik, kemudian diikuti dengan bantuan-bantuan lain seperti bertemankan orang soleh, penunjuk-penunjuk yang memberikan panduan dan pengalaman dan lain-lain.  Semua ini bertindak sebagai penjana tenaga dan keazaman serta menjauhkannya daripada penyelewengan dan kesilapan.

             Bukti kepada kemestian dan kepentingan seseorang untuk mempunyai bekalan sama seperti sebuah kereta yang berjalan jauh. Kemudian kereta tersebut kekeringan minyak dipertengahan jalan kerana tidak diisi minyak. Maka kereta tersebut menjadi seperti potongan besi yang tidak dapat membantu pemandunya walaupun untuk bergerak setapak. Begitu juga mereka yang menyelusuri jalan dakwah. Jika bekalan Iman dan taqwanya kepada Allah mengalami kekurangan dan kekeringan tanpa diperbaharui dan ditambah, jadilah tuannya seolah-olah mayat hidup atau pesakit yang tidak mampu bergerak.

            Bekalan iman dan taqwa dapat mengelakkan seseorang muslim daripada terbabas di selekoh-selekoh merbahaya dan memperjelaskan lagi petunjuk-petunjuk di jalan dakwah. Ia juga dapat membuahkan sikap benar, ikhlas, kuat keazaman dan tabah. Bukan setakat itu, ia bagaikan keajaiban yang menjayakan berbagai-bagai projek di sepanjang jalan dakwah.

             Sesungguhnya keperluan utama kita di sepanjang jalan dakwah ialah perasaan kebersamaan dengan Allah S.W.T dalam setiap langkah yang diatur dan dalam setiap gerak dan diam. Bahkan pada setiap ketika. Maka sesiapa yang merasakan Allah sentiasa bersamanya, dia tidak akan kehilangan apa-apa. Manakala barangsiapa yang berlepas diri daripada Allah, maka dia tidak menemui apa-apa, kecuali kerugian dan kesesatan. Kebersamaan ini sesungguhnya kurniaan Allah kepada orang-orang mukmin.

~ MUSTAFA MASYHUR : BEKALAN DALAM JALAN DAKWAH~

No comments: