Followers

Thursday, November 25, 2010

Nilai Cinta Sebenarnya

Percintaan yang sejati adalah antara dua sahabat sejenis, tanpa sebarang kepentingan peribadi,  ikhlas mereka mencintai sebagaimana sahabat mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Apakah mereka mendapat apa-apa kepentingan duniawi???

Tidak, bahkan mereka dimusuhi serta menanggung beban disingkir kaum kerabat sendiri, harta benda pun terkorban sehingga ramai yang jatuh sakit tinggal sehelai sepinggang. Adakah masih wujud lagi tahap kecintaan seperti ini dewasa ini? Hanya kita yang mampu menjawabnya. Kita sendiri tahu bagaimana busuknya hati kita, hanya orang sahaja tidak mengetahuinya. Andaikata mereka dapat melihat bagaimana rupa hati kita yang kita sembunyikan itu, barangkali mereka muntah oleh loyanya...

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi S.A.W sabdanya "Seorang lelaki pergi mengunjung saudaranya yang bermukim di negeri asing, Maka Allah taala mengirim seorang malaikat untuk menemaninya dalam perjalanan. Setelah malaikat menemui lelaki itu, maka betanya malaikat, "Hendak ke mana anda?" jawab orang itu " aku hendak mengunjungi saudaraku di negeri anu." Tanya malaikat " apakah anda hendak berkunjung ini kerana anda terhutang budi kepadanya? " jawab orang itu " tidak, aku mencintainya semata-mata kerana Allah." Kata malaikat "sesungguhnya aku (malaikat) diutus oleh Allahmenemani anda sebab anda mencintai saudaramu semata-mata kerana Allah."


INSAN TERPILIH

Bercinta seorang lelaki dengan wanita adalah perkara biasa yang boleh terjadi dikalangan sesiapa sahaja, akan tetapi bercinta seorang sahabat dengan sahabatnya ikhlas kerana Allah, barangkali sukar ditemui lagi.  Jika anda dapat melakukannya anda dikira insan terpilih. 

Dari Abu Hamzah, Anas Bin Malik r.a, dari Nabi S.A.W bersabda "tidak beriman salah seorang diantara kamu sehingga ia mencintai untuk saudaranya seperti apa yang dicintai untuk dirinya."

Bukan sedikit orang yang mendampingi saya secara tiba-tiba sedangkan sebelumnya tidak sekerap itu, tidak beberapa lama kemudian sampailah hajatnya, nanti apabila hajatnya telah dipenuhi, dan dia lihat kita bukan lagi alatnya, kita akan dilupakan buat seketika. Nanti apabila ada lagi hajat-hajat tertentu yang lain, dia akan muncul kembali dengan kebaikan-kebaikan yang luar biasa.

Samalah halnya dengan orang yang mula kelihatan berjemaah di surau ataupun masjid, sedangkan sebelumnya jarang sungguh. Tentu tidak lama kemudian ada hajat yang hendak disampaikannya.Nanti setelah hajatnya disempurnakan oleh jemaah, dia akan kembali tidak kelihatan.

Perhubungan yang jujur tidak memerlukan sebab, samalah percintaan yang tulus tidak memerlukan sebarang pengorbanan akan lebih membesar serta kukuhnya ikatan akan mendapati pengorbanannya sia-sia.

Sepertimana seorang ibu mencintai anaknya dan anaknya itupun demikian pula, itulah sebenarnya nilai sebuah cinta yang suci. Biar bagaimana orang melihat keburukan pada si anak, sang ibu tetap menyayangi dan mengasihinya tanpa berbelah bagi.

Nilai persaudaraan juga seharusnya begitu. Biar bagaimana orang menilai persaudaraan itu, pada mereka yang jujur, ikhlas lagi amanah, dia akan mencintainya hingga ke sudah.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya " perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam rahmat sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam."


No comments: